Sponsors

Tuesday 10 June 2014

Selecao pilihan juara

Sao Puola: Perlawanan pertama Piala Dunia bakal berlangsung di Sao Puola, Khamis ini antara tuan rumah, Brazil menentang Croatia. Sebanyak 32 pasukan mengambil bahagian dan final akan diadakan di Stadium Maracana di Rio de Janeiro pada 13 Julai. Edisi Brazil adalah yang ke-20 dan pertama di Amerika Selatan sejak 1978. Brazil satu-satunya negara tidak gagal mengambil bahagian dan muncul juara sebanyak lima kali. Begitupun, menjelang sepak mula kejohanan terbesar dunia itu, timbul beberapa persoalan yang pastinya berlegar di fikiran semua peminat bola sepak.
Soalan: Negara manakah menjadi pilihan bergelar juara?
Jawapan: Semua pemerhati melabel Brazil sebagai pilihan dan mereka dikatakan bakal menjulang Piala Dunia buat kali keenam. Argentina adalah pilihan kedua memandangkan mereka mengharungi perlawanan lebih mudah manakala Jerman diletakkan sebagai pilihan ketiga diikuti juara bertahan, Sepanyol.

Siapakah yang bakal diangkat selaku pemain terbaik?

Jawapan: Tiga pemain yang pastinya tidak boleh dinafikan kehebatan masing-masing. Jika Lionel Messi mahu dianggap setanding Diego Maradona, dia perlu membawa Argentina sekurang-kurangnya ke final. Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo pula mungkin tidak berpeluang untuk ke final, tetapi penyerang Real Madrid itu boleh menyinar di peringkat kumpulan ketika menentang Amerika Syarikat dan Jerman. Bintang tuan rumah, Neymar cukup meyakinkan ketika saingan Piala Konfederasi tahun lalu dan dia pastinya mahu membawa Brazil menjulang gelaran keenam kali ini.


Mampukah setiap pasukan menghasilkan banyak jaringan?

Jawapan: Tidak jika corak permainan ketika ini dijadikan panduan. Jumlah purata jaringan di Piala Dunia menurun pada setiap edisi sejak 1994 apabila hanya 2.71 gol dijaringkan di setiap perlawanan. Di Afrika Selatan 2010, purata jaringan merosot kepada 2.27. Piala Dunia terakhir yang menyaksikan lebih tiga gol terhasil dalam sebahagian besar perlawanan ialah ketika di Sweden 1958.


Apa catatan yang bakal diperhatikan?

Jawapan: Penyerang Jerman, Miroslav Klose boleh menyamai rekod jaringan Ronaldo di Piala Dunia dengan 15 gol jika dia mampu menterjemah setiap peluang terhidang. Jika Algeria gagal menjaringkan gol pada perlawanan pembukaan menentang Belgium, mereka akan muncul negara pertama yang beraksi di enam edisi Piala Dunia tanpa sebarang jaringan. Penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas sudah mencatat tujuh rekod bersih sepanjang 15 perlawanan dan jika berjaya menghalang pemain lawan menjaringkan gol dalam tiga lagi perlawanan, dia bakal menyamai catatan Peter Shilton serta Fabien Barthez. Jika jurulatih Amerika Syarikat Juergen Klinsmann atau pengendali Perancis Didier Deschamps berjaya membawa anak buah menjulang Piala Dunia, kedua-duanya bakal menyamai catatan Mario Zagallo serta Franz Beckenbauer sebagai individu yang pernah memenangi kejohanan selaku pemain dan pengurus.


Mampukah semua stadium siap menjelang sepak mula?

Jawapan: Enam daripadanya sudah digunakan ketika Piala Konfederasi tahun lalu dan sepatutnya tidak ada masalah. Mungkin terdapat sedikit masalah di enam lagi venue - Porto Alegre, Sao Paulo, Manaus, Cuiaba, Curitiba dan Natal terutamanya membabitkan sistem Internet dan kawasan sekitarnya kerana ada tempat yang masih kelihatan berselerak.


Apa bentuk sokongan serta sorakan yang bakal dilihat?

Jawapan: Penjualan tiket amat memberangsangkan dan tiga juta keping sudah dijual setakat ini. Sebanyak 64 perlawanan akan berlangsung sekali gus bermakna purata jumlah penyokong ialah seramai 47,000 orang dan ia adalah normal pada setiap kali Piala Dunia dan menyamai catatan 1950 ketika kali terakhir Brazil menjadi tuan rumah. Yang pasti, jumlah itu tidak akan menyamai purata 64,000 penyokong ketika kejohanan dilangsungkan di Amerika Syarikat 1994.


Apa keadaan cuaca yang bakal diharungi sepanjang Piala Dunia?

Jawapan: Brazil sebuah negara besar dan peminat terutamanya di bahagian selatan perlu menyediakan baju tebal kerana suhu di kawasan itu rendah dan sejuk di waktu malam. Di utara, cuacanya panas dan aksi pasukan di kawasan itu mungkin sedikit terganggu.


Adakah Piala Dunia bakal dicemari protes dan rusuhan seperti Piala Konfederasi tahun lalu?

Jawapan: Tidak ada siapa boleh memberikan jaminan perkara itu tidak akan berlaku. Mungkin terdapat protes serta sedikit gangguan tetapi ia tidak mungkin sama dengan tahun lalu. Jika berlakunya kekacauan, polis dan tentera sedia untuk mengawal keadaan. - Reuters

sumber : myMetro

No comments: